Advancer si peniup ney oleh Faisal Tehrani
ISBN: 967-61-1762-5 (10)
Terbitan: Utusan Publications & Distribution Sdn. Bhd
Tahun: 2005
Mukasurat: 243 m/s
Sinopsis:
Hedonis. Begitu definisi kaum di negeri jauh itu. Landas hidup hanya untuk berseronok-seronok, bermewah-mewah, lazat,lazat,lazat.
Berpantang arah tujuan, terlarang segala fikiran.
Ya, aliran hedonisme menjunjung kelazatan dan puja-pujaan; emm, cita rasa, cita rasa!
40 remaja berwajah bersih amat berseri-seri mengundang Sulaiman Hilmi yang bermata biru hijau berbalam, yang berwajah cahaya.
Bersama mereka menunggang awan, memacu ombak menuju ke negeri jauh, membawa salam kesejahteraan.
Demi menyahut panggilan Cinta. Menyerah buat dibakar api Cinta. Merawat duka rawan rindu kepada Cinta: Bahawa yang paling seronok, paling mewah, paling lazat ialah kelazatan menunaikan janji abadi: Bahawa Dia itu Satu. Tempat bergantungnya adalah sesuatu. Tumpuan hidup dan mati dan hidup lagi sesudah mati.
Dia Sumber Cinta, Pencipta Segala Rasa.
======================================
Beberapa petikan ayat dari novel:
Fahaman hedonisme: hidup untuk suka-suka sahaja. Remajanya demamkan hiburan semata-mata. Demamkan muzik hinggakan apa yang berlaku disekeliling tidak diambil peduli.
"Ada sebuah hadis yang paling tepat menunjukkan hal ini. Hadis riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Satu kumpulan umatku pada akhir zaman, ditukarkan mereka menjadi monyet-monyet dan babi-babi, Sahabat-sahabat berkata: 'Ya Rasulullah, adakah mereka itu orang-orang Islam?' Sabda baginda: 'Ya, mereka mengucap dua kalimah syahadah (mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa aku Pesuruh Allah) dan mereka mengerjakan puasa.' Kata Sahabat-sahabat: 'Mengapa mereka jadi begitu, ya Rasulullah?' Sabda baginda: 'Mereka bermain dan berhibur dengan alat bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita dan dengan rebana dan mereka minum pelbagai jenis arak, dan mereka bermalam dengan minuman dan hiburan riuh-rendah mereka, maka pada pagi hari, mereka telah ditukarkan rupa (menjadi monyet dan babi)'.
Souti sarmad: sejenis muzik-satu bunyi, satu suara yang apabila melantun keluar dari sumbernya akan mengisi semua ruang. Sumber itu datang dari Tuhan yang memberi bunyi, memberi suara kepada manusia untuk menghormati firman Tuhan. Ia getaran halus yang tidak tertangkap dek telinga, jauh sekali terlihat dek mata. Zikir itu juga souti sarmad. Dimana muzik yang membawa kita kembali kepada destinasi akhir dalam kehidupan iaitu Allah.
Idola: perkataan idola itu berasal daripada bahasa Inggeris yang akar katanya ialah idol, yang bermaksud berhala.
Muzik Barat itu jika direnung-renungkan memanglah tidak ada isinya. Muzik seumpama itu hanya mencapai satu tingkat, iaitu menyentuh nafsu yang paling rendah. Al-Jalal dalam muzik bermakna menterjemahkan keagungan Allah secara falsafahnya dalam muzik yang berunsurkan kerohanian. Muzik yang agung itu mesti juga indah pada melodinya, iaitu menerapkan al-Jamal. Muzik yang keras dan bingit bukanlah muzik yang indah atau merdu.
Muzik yang baik ialah muzik yang bertujuan. Muzik yang bijaksana ialah muzik yang kalau kita mainkan atau perdengarkan akan melembutkan hati yang keras, membangkitkan jiwa yang tidur, menemukan jalan pulang kepada jiwa yang tersesat, menjadikan jiwa yang alpa kembali ingat, hinggakan mereka yang memainkan atau memperdengarkannya mahukan dunia yang penuh kerohanian, mahu mendirikan bangunan penuh cahaya dalam diri dan langsung mengetepikan dunia fana dan rosak, lalu terbebaslah daripada kongkongan benda supaya hanya mengadap Kebenaran.
Telinga sudah terbiasa mendengar muzik yang tidak menajamkan akal, indera sudah lazim menangkap irama yang tidak memperhalus peribadi, hanya mahukan hiburan dan tidak timbul rasa berani atau rasa bebas hasil daripada muzik yang didengar itu. Rasa berani yang dituntut Islam ialah apabila muzik yang ada mendorong keinginan untuk berjihad. Rasa bebas dalam muzik kerohanian ialah apabila makluk berasa damai dan merdeka daripada hambatan dunia, kejahatan yang ditawarkan dunia, rasa bebas daripada tanggapan bahawa dunia ialah segala-galanya, sedangkan dunia ini sekadar penjara untuk mereka yang tidak sudah-sudah mengejarnya. Muzik Barat memang mematikan akal, menumpulkan watak dan memenuhi jiwa rendah hingga kadangkala jadi kecut diri, atau menimbulkan rasa terpenjara dek emosi dan dunia.
Konsert yang melalaikan dan menghancurkan ini ialah hiburan yang menyebabkan runtuhnya tiang agama. Heboh berduyun-duyun ke konsert sampaikan tidak solat. Solat kan tiang agama. Kalau tak solat berbondong-bondong, berbondong-bondonglah juga meruntuhkan agama.
"Allah berfirman dalam surah al-An'am ayat 32: 'Dan dunia bukanlah tempat untuk bermain-main dan senda gurau belaka.' Ini membuktikan bahawa agama ialah pegangan dalam menolak sensasi seni dan hiburan yang keterlaluan. Kita buat perkara apa pun tentulah ada isi dan panduannya, hatta untuk menjadi penyanyi sekalipun. Mana boleh ikut suka- suka. Oleh sebab ramai remaja kita khususnya yang tergila-gila benar untuk menjadi artis, maka harus diberi ingat bahawa Allah dala surah Hud ayat 61 memesankan; 'Dia telah menciptakan kamu di atas bumi dan menjadikan kamu sebagai pemakmurnya.' Inilah peranan dan tanggungjawab besar kita, iaitu sebagai pemakmur, bukan perosak. Yang ada sekarang ini banyak yang merosakkan dan melalaikan. Sekali gedik saja dah rosak iman, nak makmur bagaimana? Kalau menari pula, banyak gerakan lincah yang membawa kepada dosa terang-terangan. Malah ada gelek semacam gerudi pula. Muziknya bukan kembali kepada Pencipta dan Cinta tetapi meresahkan jiwa dan menjauhkan diri daripada kenyataan. Hanya takwa sajalah pusat pegangan kita. Berharaplah sampai mati supaya kita duduk dalam kerangka ini. Allah menyebut dalam surah Ali Imraan ayat 112 tentang dimensi sebenar hal kesenian dan kebudayaan ini: 'Mereka akan ditimpa kehinaan, kecuali yang berpegang teguh kepada ajaran agama Allah iaitu hablumminallah, dan juga nilai-nilai kemanusiaan iaitu yang disebutkan sebagai hablumminannas'."
Sayang anak muda sekarang mengejar muzik yang kosong. mereka itu menyangka muzik semata-mata hiburan dan keseronokan. Mereka tidak nampak bahawa muzik itu rapat dengan jiwa, dan jiwa yang tenang membawa kepada Tuhan.
Tidak mereka tahu bahawa muzik menjana kalenjar pineal, mengeluarkan hormon melatonin. Inilah jenis hormon yang berfungsi untuk menenangkan manusia dan jin. Muzik seumpama rock yang iramanya berfrekuensi lebih daripada 12hz hanya mendorong kepada sikap agresif, radang, baran, dan merosakkan kesihatan dengan melajukan degup jantung. Sedang irama ney itu frekuensinya seputar 8-10 hz, justeru temponya yang tidak pantas menjadikan fikiran tenang dan menyantaikan jiwa. Tidak hairan juga kalau irama yang berfrekuensi 4-8 itu membuatkan orang lagi cepat tidur.
Ayat 28 surah Ar-Ra'd, 'Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allahlah hati akan menjadi tenang'.
Comments
Post a Comment