Tautan hati 4: bab 8
Sering ku terdengar,
Usikan nakal,
si lelaki pada wanita,
FEUWIT, CUNNYA!
buatku keliru sendiri,
apakah ertinya kecantikan wanita,
di mata lelaki?
Adakah pada susuk tubuh yang
menggiurkan?
Atau pada akhlak yang menawan?
Biar apa pun jawapannya,
Aku tetap aku,
Apa yang ku tahu,
Aku seorang wanita,
Fitrahku sukakan diri cantik jelita,
Namun bukan kecantikan di mata manusia,
Sebaliknya,
Ku mencari kecantikan yang diiktiraf Tuhan.
-Monolog Layyinul Harir-
Layyinul Harir mempercepatkan langkah. Ketika di kafeteria Hafsa, dia termenung panjang. Dia banyak belajar tentang hakikat kehidupan. Dirinya yang disangka halimunan selama ini, rupa-rupanya menjadi rebutan dan perhatian dalam naluri ramai lelaki. Sebaliknya, gadis cantik dan terkenal seperti Aisya Bazella pula mudah dihina dan dipermainkan. Kejadian itu membuatkan keazamannya makin kuat untuk menjaga sahsiah diri. Hanya sahsiah dan sifat malu menjadi kemuliaan seorang wanita. Dia tidak mahu tertipu dengan kecantikan dan keindahan yang dimiliki oleh setiap wanita termasuk dirinya. Anugerah itu satu amanah daripada Allah untuk dihadiahkan kepada seorang lelaki bernama suami bukannya untuk didedahkan buat santapan semua lelaki, sesuka hati.
Berfikir sejenak:
Kadang-kadang, yang terlalu cantik dan suka membangga diri, tidak sedar sebenarnya dirinya sedang dipermainkan oleh orang lain. Dalam pujian yang diberikan terselit celaan dan cemuhan dan mungkin juga satu kesedaran yang bertujuan menyedarkannya. Tapi seringkali hanya pujian yang didengar dan nasihat ditolak ketepi.
Saya kagum kerana kadang-kala saya melihat masih juga ada lelaki yang sudi dengan wanita berkenaan dan bersedia untuk memimpinnya ke jalan kebenaran. Tahniah kerana berjaya merubah wanita yang sedemikian menjadi wanita yang solehah.
Setakat cantik tapi tiada akhlak apa gunanya, lebih baik wanita yang kurang cantik tetapi akhlaknya sungguh pekerti. Dan bagi wanita yang cantik dan juga berakhlak satu bonus buat lelaki yang menjadi suaminya.
Akhlak terbentuk mengikut persekitaran kita, seperti suasana keluarga, dengan siapa kita berkawan dan yang paling penting diri kita sendiri. Kita yang membentuk jadi diri dan akhlak kita, seandainya kita tidak berpegang teguh pada prinsip kita, nescaya kita akan mudah terpengaruh pada keadaan persekitaran kita.
Comments
Post a Comment